Empat kali rosak

JAKARTA: Data daripada satu kotak hitam milik pesawat Lion Air yang terhempas di Laut Jawa mendedahkan kapal terbang mengalami masalah dengan penunjuk kelajuan dalam empat penerbangannya sebelum ini.

Pesawat baru Boeing 737 MAX itu terhempas kira-kira 13 minit selepas berlepas dari Jakarta menuju ke Pangkal Pinang pada 29 Oktober lalu menyebabkan semua 189 penumpang dan anak kapal maut.

Ketua Jawatan Kuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT), Soerjanto Tjahjono berkata, berdasarkan data yang dimuat naik daripada perakam data penerbangan mendapati pesawat itu mengalami masalah sama dalam empat penerbangan terakhir.

“Apabila kami memuat naik data kotak hitam itu, kami dapati masalah teknikalnya adalah laju udara atau kelajuan pesawat itu.

“Data daripada kotak itu mendapati dua penerbangan sebelum Denpasar-Jakarta juga mengalami masalah sama.

“Dalam data 16 jam yang dirakam, empat penerbangan yang mengalami masalah dengan penunjuk laju udara,” katanya.

Ketika penerbangan dari Denpasar-Jakarta, pesawat itu mengalami masalah kelajuan dan altitud menyebabkan kapal terbang itu beberapa kali menurun mendadak serta penumpang mengadu bunyi enjin yang luar biasa.

Juruterbang membuat panggilan kecemasan untuk berpatah balik ke Denpasar selepas beberapa minit penerbangan tetapi berjaya mengatasi masalah itu dan mendarat dengan selamat di Jakarta.

Bagaimanapun, ketua kemudahan kejuruteraan Lion Air di Batam, Nyoman Rai Pering memberitahu The Guardian, masalah pada pesawat itu bukan saja pada penunjuk laju udara.

Ditanya mengapa pesawat itu menurun mendadak dari 11,887 meter ke 9,144 meter ketika penerbangan dari Manado ke Denpasar pada 27 Oktober kemudian tidak terbang selama 12 jam, Nyoman mengaku ia dibaiki ketika tempoh itu.

“Ya, kami mengambil masa membaiki masalah itu dan memastikan ia dibaiki. Kami menggantikan alat yang disyaki rosak oleh jurutera. Saya rasa masalahnya adalah pada pengukur sudut serang yang mengawal kestabilan pesawat,” katanya.

Sudut serang atau dikenali sebagai AOA menunjukkan sama ada pesawat itu akan menjadi pegun ketika penerbangan.

Berdasarkan masalah pada AOA dan penunjuk laju udara, pakar penerbangan, Gerry Soejatman berkata, pesawat itu mungkin berdepan masalah lebih besar dan berkaitan dengan unit data rujukan udara (ADR).

ADR merekodkan beberapa penunjuk penting termasuk kelajuan udara, altitud, suhu udara dan sudut serang.

“Dengan semua ini berlaku dalam tempoh beberapa hari, kami mengesyaki masalahnya tidak terhad pada penunjuk laju udara tetapi pada keseluruhan kotak ADR. Mungkin ADR sendiri yang bermasalah bukannya sensor,” jelasnya.

Bagaimanapun, Soejatman memberitahu, ketika ini masih terlalu awal untuk mengesahkan punca sebenar nahas itu kerana siasatan masih berjalan.

Ketika ini, pasukan penyelamat masih mencari kotak hitam kedua yang mengandungi rakaman suara kokpit. – Agensi

Pemilik Lion Air, Rusdi Kirana meminta maaf kepada ahli keluarga mangsa nahas pesawat Lion Air.- TribunNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *