Pihak berkuasa tempatan perlu kuasai ICT-Jaujan

TAWAU, 5 Nov -Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah perlu memastikan transformasi kualiti penyampaian perkhidmatan mereka direalisasikan melalui penggunaan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) ketika berurusan dengan rakyat, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong.

Katanya sebagai sebuah negeri yang mendokong dan menyokong penggunaan ICT,perkhidmatan kaunter  harus dikurangkan dan digantikan dengan kios atapun perkhidmatan secara dalam talian.

Katanya BPT jug perlu bersedia melengkapkan diri dengan meningkatkan kefahaman dan kemahiran ICT sebagai prasyarat kepada perkhidmatan awam berprestasi tinggi.

“Ini termasuklah dalam pengurusan  data raya (big data management) dan ‘mobile computing’ agar sebarang perancangan, keputusan dan tindakan dapat dibuat dengan lebih cekap, efisien dan teratur,” katanya ketika merasmikan  Seminar ICT sektor awam Peringkat negeri di Auditurium Perpustakaan Tawau hari ini.

Selain dari itu katanya, kecanggihan teknologi dalam menjaga dan mengukuhkan keselamatan ICT perkhidmatan awam dalam dunia siber perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa agar keselamatan maklumat digital kerajaan sentiasa pada tahap yang maksimum.

Terdahulu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Alijus @ Mohd Ali Sipil berkata seminar sehari yang melibatkan 100 peserta itu adalah program pendedahan terhadap penggunaan ICT kepada PBT bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Program ini penting kerana di era globalisasi sekarang ini, ICT sangat pesat berkembang, dan amat perlu bagi PBT mengambil peluang untuk membuat inovasi melalui inisiatif ICT yang bahar,” katanya.

Katanya sasaran program berkenaan termasuk untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan teknologi ICT bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan menjayakan inisiatif kerajaan memaju ekonomi digital negara.

—BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *