Musa berdepan 35 tuduhan rasuah babitkan RM263 juta

MUSA Aman hadir bagi menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. – NSTP/Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 35 tuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di negeri Sabah membabitkan wang berjumlah AS$63.3 juta (RM263.46 juta).

Musa yang memakai kot hitam dan bersongkok serta memakai tongkat memahami setiap pertuduhan yang dibacakan dua jurubahasa mahkamah terhadapnya.

“Minta bicara”, katanya dari kandang tertuduh selepas diminta pengakuan daripada Hakim Rozina Ayob.

Mengikut tuduhan, Musa sebagai seorang ejen kerajaan negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri beliau suapan daripada enam individu iaitu wang keseluruhan berjumlah AS$63.3 juta (RM263,460,962.313).

Wang suapan itu ialah sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal beliau, iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada beberapa syarikat antaranya Syarikat Segar Tepat Sdn Bhd dan J V Lestari Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tujuh bank dan institusi kewangan di luar negara, antaranya HSBC Bank, Claymore Plaza dan Ocean Tower serta Credit Suisse, Raffles Place di Singapura dan Citi Bank Kowloon, UBS AG Bank, Central dan JP Morgan Chase Manhattan Bank di Hong Kong, China

Semua tuduhan terhadap Musa adalah mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta sama.

Jika disabitkan, beliau boleh dihukum maksimum penjara 29 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang, atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Musa diwakili peguam Amer Hamzah Arshad.

Sri Ram menawarkan Musa ikat jamin sebanyak RM5 juta bagi semua tuduhan.

Selepas mendengar hujahan Sri Ram dan Amer Hamzah, Hakim Rozina membenarkan Musa diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin.

Hakim Rozina turut memerintahkan supaya pasport antarabangsa dan pasport diplomatik Musa diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah mengarahkan wang jaminan RM1 juta dibayar pada hari ini manakala baki dibayar pada Rabu ini.

Sebagai syarat tambahan, Musa disyaratkan berada di Kuala Lumpur sehingga wang jaminan selesai dibayar.

Hakim Rozina kemudian menetapkan sebutan kes pada 13 Disember ini. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *