Azmin terus mendahului Rafizi di Sabah

KOTA KINABALU: Persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR menyaksikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih mendahului pencabarnya, Rafizi Ramli, dalam pemilihan pusingan kedua parti itu di Sabah hari ini.

Berdasarkan maklumat sumber, Mohamed Azmin mendahului dengan majoriti 1,467 undi selepas mendapat 4,366 undi berbanding 2,899 undi diterima Rafizi di 11 cabang yang mengadakan pemilihan pusingan kedua, hari ini.

Setakat ini, Azmin dilaporkan menang di lapan cabang iaitu Beluran, Putatan, Kudat, Papar, Silam, Ranau, Kota Belud dan Kinabatangan manakala Rafizi menang di cabang Penampang, Semporna dan Kimanis.

Hanya keputusan di dua lagi cabang iaitu Pensiangan dan Tenom belum diketahui setakat ini kerana difahamkan proses pengundian di kedua-dua cabang masih diteruskan selepas jam 4 petang tadi.

Penyelaras PKR Sabah, Rosli Masaliku, ketika dihubungi, berkata keadaan itu disebabkan jumlah pengundi yang terlalu ramai di pusat pengundian kedua-dua cabang sehingga memaksa JPP melanjutkan pengundian.

“Keadaan itu menyebabkan proses pengiraan undi mengambil masa dan keputusan dijangka lambat diketahui. Setakat ini cabang lain sudah ada keputusan tetapi pihak JPP belum membuat pengumuman rasmi,” katanya.

Dalam pemilihan pusingan pertama yang membabitkan 11 cabang semalam, keputusan tidak rasmi menunjukkan Azmin menang di enam cabang iaitu Libaran, Sandakan, Kalabakan, Sepanggar, Beaufort dan Tawau, manakala Rafizi di lima cabang iaitu Kota Kinabalu, Batu Sapi, Tuaran, Sipitang dan Kota Marudu.

Selepas tamat pusingan kedua pemilihan di Sabah hari ini, keputusan tidak rasmi setakat ini menunjukkan Azmin memperoleh 59,195 undi keseluruhan berbanding 55,583 undi diperoleh Rafizi dengan majoriti 3,612 undi.

Bagi pemilihan semalam, hanya cabang Keningau belum ada keputusan selepas pemilihan di cabang itu ditangguhkan berikutan kekecohan ketika pengundian.

Pemilihan semula bagi cabang Keningau dijangka dijalankan semula selepas Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR mengenal pasti lokasi baharu pusat pengundian.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *