Rafizi diserang di Keningau

KENINGAU: Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli didakwa diserang ketika proses pemilihan Cabang Keningau di sebuah dewan di Kampung Merampong, di sini, petang tadi.

Ketika kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Rafizi mendakwa kepalanya disentuh sebelum dibawa keluar dan membuat laporan polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Asisten Superintendan Lee Nyuk Kim mengesahkan, pihaknya ada menerima laporan polis daripada Rafizi.

“Saya difahamkan berlaku kekecohan ketika proses pemilihan cabang di dalam dewan.

“Polis sedang menyiasat berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

ANTARA petikan dalam rakaman video, Rafizi mendakwa diserang sekumpulan lelaki di Kampung Merampong, Keningau. – Foto ihsan pembaca

RAFIZI didakwa diserang ketika proses pemilihan Cabang Keningau di sebuah dewan di Kampung Merampong, Keningau. – Foto ihsan pembaca

Nyuk Kim berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Satu rakaman video berdurasi 3.02 minit menunjukkan Rafizi dikawal ketat apabila berlaku kekecohan di dalam dewan.

Dalam rakaman itu, beberapa individu dipercayai penyokong Rafizi cuba memasuki dewan dengan merosakkan dawai besi.

Namun keadaan itu berjaya dikawal sepasukan polis dan pada masa sama, Rafizi dibawa keluar dari dewan terbabit oleh penyokongnya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew, berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh berhubung kejadian itu.

“Saya belum jumpa Rafizi, sekarang masih menunggu laporan penuh berhubung insiden itu,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Sumber  : Berita Harian

RAFIZI membuat laporan polis di IPD Keningau selepas mendakwa diserang sekumpulan lelaki di Kampung Merampong, Keningau. – Foto ihsan pembaca
RAFIZI mendakwa kepalanya disentuh sebelum dibawa keluar dan membuat laporan polis. – Foto ihsan pembaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *