Pemilihan Cabang Keningau digantung

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli membuat laporan polis mendakwa diserang ketika proses pemilihan Cabang Keningau di sebuah dewan di Kampung Merampong, di Keningau. – Foto ihsan pembaca

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengumumkan dalam waktu terdekat mengenai perkembangan status pemilihan bagi Cabang Keningau.

Kordinator Pemilihan PKR Sabah, Rosli Masaliku, berkata insiden kekecohan di cabang itu semalam menyebabkan proses pemilihan ditangguhkan.

“Proses pemilihan bagi cabang Keningau belum selesai. Ia terpaksa digantung sementara waktu kerana kekecohan yang berlaku semalam.

“Kita menunggu pengumuman dibuat pengurusan JPP untuk keputusan bila (dijangka akan meneruskan proses pemilihan),” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, sebentar tadi.

Semalam, calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membuat laporan polis mendakwa diserang ketika proses pemilihan Cabang Keningau di sebuah dewan di Kampung Merampong, di Keningau.

Ketika kejadian pada kira-kira jam 4 petang itu, Rafizi mendakwa kepalanya disentuh sebelum dibawa keluar dan satu rakaman video berdurasi 3.02 minit turut tersebar menunjukkan Rafizi dikawal ketat apabila berlaku kekecohan di dalam dewan.

Dalam rakaman itu, beberapa individu cuba memasuki dewan dengan merosakkan dawai besi, namun keadaan berjaya dikawal sepasukan polis dan pada masa sama, Rafizi dibawa keluar dari dewan terbabit oleh penyokongnya.

Keputusan di 12 cabang seluruh Sabah semalam menyaksikan calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Azmin Ali mendahului Rafizi dengan majoriti 342 undi selepas mendapat 5,113 undi berbanding 4,773 undi diterima Rafizi.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *