Traktor Terbabas Masuk Sungai, Pekerja Ladang Maut

Mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Masjid Nurul Iman, Bombalai. – Gambar SNT/Media Sosial

TAWAU: Seorang pekerja ladang maut apabila kenderaan jenis traktor yang dipandunya terbabas lalu terjatuh ke dalam sungai di Jalan Masjid Nurul Iman, Bombalai di sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, kenderaan mangsa yang juga pekerja ladang berusia 30 tahun itu terbabas ketika melakukan pusingan U.

Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata mangsa dikenali Adi Mide meninggal dunia disyaki akibat lemas.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa memandu dari arah Jalan Tawau – Kalabakan menuju ke Masjid Nurul Iman.

“Ketika melalui Jalan Masjid Nurul Iman, mangsa cuba membuat pusingan U di simpang empat berhampiran dengan jambatan.

“Semasa membuat pusingan U, kenderaannya telah tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai kecil yang kedalamannya kira-kira lima meter dan menghimpit mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata menurut saksi yang melihat kejadian, mangsa tersepit oleh traktor di dalam sungai dan disahkan maut di tempat kejadian akibat lemas.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *