Pemimpin pembangkang Sabah jumpa Dr Mahathir

PEMIMPIN pembangkang Sabah dari Gabungan Bersatu Sabah (GBS) membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana. – Foto ihsan pembaca

KOTA KINABALU: Pemimpin pembangkang Sabah dari Gabungan Bersatu Sabah (GBS) semalam membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Mereka ialah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan; pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Kurup dan pemimpin UMNO Sabah, Datuk Zakaria Edris.

Jeffrey dan Maximus adalah Timbalan Pengerusi bersama GBS.

Ketika dihubungi NSTP, Jeffrey berkata, kunjungan hormat itu adalah untuk menyampaikan beberapa isu berkaitan negeri ini kepada Perdana Menteri, antara lain keselamatan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kami hanya mengucapkan terima kasih kepadanya kerana melihat (MA63) sekarang … ia hanyalah kunjungan hormat biasa. Beliau juga mengiktiraf GBS dan sedar kita tidak lagi berada dalam Barisan Nasional (BN) tetapi kumpulan (baru),” katanya.

Ditanya jika Dr Mahathir ada berkata sesuatu yang lebih khusus, Jeffrey berkata, mereka cuma mengadakan perbincangan umum mengenai Malaysia.

“Beliau (Dr Mahathir) menyatakan mengenai keperluan untuk menjadi lebih demokratik dan telus. Beliau juga berkata jika ada dasar yang baik perlu disokong dan jika ia adalah dasar yang tidak bagus, jangan sokong kerana kita perlu menjadi lebih demokratik,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Ditanya adakah GBS yang ditubuhkan secara rasmi membabitkan STAR, UMNO, PBRS dan PBS akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat, Jeffrey berkata, ia akan diadakan beberapa hari lagi.

Pada 18 Oktober lalu, lima pemimpin pembangkang turut membuat kunjungan hormat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengucapkan tahniah kepadanya kerana kembali ke Parlimen selepas memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Anifah dan Jeffrey kemudian menyatakan pertemuan dengan Anwar bukan bersifat politik, sebaliknya memberi taklimat mengenai isu berkaitan Sabah.

 

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *