Pelancongan di Sandakan terjejas sekiranya Maswings hentikan laluan Kota Kinabalu-Sandakan

SANDAKAN, 1 Nov – Pengusaha pelancongan di Sandakan kecewa dengan keputusan bahawa MASwings akan menghentikan penerbangan bagi laluan Kota Kinabalu-Sandakan berkuat kuasa 1 Jan 2019.

Presiden Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN) Johnny Lim berkata sebab utama kadar penghunian hotel di Sandakan rendah adalah kekurangan perhubungan udara ke bandar pantai timur ini, yang juga  diterjemahkan kepada ketibaan pelancong yang rendah.

Beliau berkata dengan pembatalan laluan itu, keadaan ketibaan pelancong yang rendah akan terus berlaku.

“Pada masa ini, masyarakat Sandakan menghadapi ketidakpastian tentang peluasan landasan lapangan terbang. Walaupun banyak pengumuman dibuat mengenai peluasan landasan ini tahun lepas, kerja-kerja masih belum dimulakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata pengusaha pelancongan berharap kerajaan baharu akan membatalkan keputusan yang dibuat kerajaan terdahulu tahun lepas dan membenarkan MASwings meneruskan penerbangan hingga syarikat penerbangan lain bersedia untuk mengambil laluan itu.

Semalam, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew meminta pihak berkuasa termasuk MASwings agar menimbang semula keputusan untuk menghentikan laluan Kota Kinabalu-Tawau dan Kota Kinabalu-Sandakan.

Beliau berkata keputusan untuk menghentikan laluan ini pada tahun depan akan memberi kesan kepada penduduk Sabah kerana penerbangan itu membantu menghubungkan masyarakat bandar dan luar bandar serta mempromosikan kawasan berkenaan kepada pelancong.

Menurut laporan berita tahun lepas, MASwings akan menghentikan operasi untuk enam laluan termasuk  Kota Kinabalu-Miri, Kuching-Miri, Kuching-Kota Kinabalu dan Kuching-Sibu.

Bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dipetik sebagai berkata ia diputuskan susulan  kajian oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) terhadap Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *