Seorang Ibu Ugut Bunuh Diri Halang Anaknya Ditahan AADK

Penguatkuasa AADK bertindak pantas merampas semula pisau yang dirampas oleh anak mangsa ketika ibunya bertindak menikam diri pada bahagian perut di Kampung Gadong, Kimanis, Papar. Gambar SNT/Ehsan Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia Sabah

PAPAR: Seorang wanita berusia lewat 60an mengugut untuk menikam diri sendiri bagi menghalang anak lelakinya daripada ditahan penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah dalam sebuah serbuan di Kampung Gadong, Papar, awal pagi tadi.

“Aku tikam juga diri aku. Lepaskan anak aku!” jerit wanita itu kepada pegawai penguatkuasa AADK yang memasuki bilik tidur anaknya.

Menurut Ketua Operasi AADK Sabah Erwan Roslan ketika suspek berusia 30an sedang dibawa keluar rumah dalam keadaan tangan bergari, ibu suspek dilihat meluru ke dapur dan menyatakan hasrat untuk membunuh diri.

Suspek memberitahu pegawai AADK yang menahannya bahawa ibunya betul-betul akan membunuh diri dan dengan sedaya upayanya mengejar ibunya di dapur.

“Pada ketika itu, ibu suspek sedang menjerit untuk membunuh diri sambil memegang sebilah pisau pemotong sayur dan hendak menikam diri pada bahagian perut,” katanya.

Salah seorang suspek dicekup dalam Op Cegah Siri 15/2018 di sekitar Papar dan Beaufort. Gambar SNT/Ehsan Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia Sabah

Suspek dalam keadaan tangan bergari dengan cepat merampas pisau tersebut dari genggaman ibunya.

Tambah Erwan, beberapa penguatkuasa AADK turut mengawal situasi dan menenangkan ibu suspek yang kemudian akur menyerahkan anaknya kepada AADK untuk mendapatkan rawatan pemulihan.

Operasi yang bermula pada jam 12 tengah malam berakhir pada jam 5 pagi tadi dijalankan di beberapa kawasan panas sekitar di Kampung Laut Kinarut, Kampung Pengalat Kecil Papar dan Kampung Gadung Kimanis.

Tambah Erwan, sebanyak 10 tangkapan dibuat semasa Op Cegah siri 15/2018 ini dijalan dan kesemua suspek yang berumur 20 hingga 42 tahun ditahan selepas didapati positif mengambil dadah jenis syabu.

Kesemua penagih ditahan dibawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, tambahnya.

Sumber : SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *