Polis tahan pasangan kekasih terlibat samun kedai serbaneka 24 jam

KOTA KINABALU, 29 Okt – Polis menahan sepasang kekasih disyaki terlibat dalam kes samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar bandar raya ini dalam satu serbuan di Taman Inanam, dekat sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata sepasukan polis menangkap pasangan kekasih berumur 28 tahun di kawasan itu pada jam 11.30 malam selepas risikan dan hasil maklumat berikutan laporan kes samun di dua lokasi berasingan kedai serbaneka 24 jam.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kenderaan, pakaian dan pisau digunakan suspek untuk melakukan jenayah samun. Suspek lelaki didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Habibi berkata pasangan kekasih itu telah melakukan jenayah samun bersenjata di kedai serbaneka 24 jam di Jalan Kebajikan, Luyang pada 23 Okt lepas dan telah merampas RM90 daripada seorang pekerja kedai terbabit.

Pasangan kekasih itu sekali lagi melakukan jenayah samun di kedai serbaneka 24 jam di Damai Plaza pada 25 Okt, bagaimanapun, tindakan pekerja kedai menjerit meminta pertolongan menyebabkan suspek panik dan terus melarikan diri, katanya.

Menurutnya, pasangan kekasih itu menggunakan modus operandi sama iaitu suspek lelaki melakukan samun bersenjata dengan mengacukan pisau kepada pekerja kedai manakala teman wanitanya bersedia menunggu di dalam kenderaan dan memandu kenderaan itu untuk terus melarikan diri.

Habibi berkata polis percaya telah dapat menyelesaikan siasatan enam kes samun dengan penangkapan pasangan kekasih itu yang disyaki mula aktif melakukan jenayah samun sejak empat bulan lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

Dalam perkembangan lain, Habibi berkata, polis menahan seorang lelaki warga Filipina bersama lima paket plastik lutsinar berisi dadah dipercayai jenis syabu seberat 249 gram dianggarkan bernilai RM40,000 dalam operasi pada 26 Okt lepas.

Habibi berkata suspek berumur 21 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu ditahan di Lorong Pekan Telipok 1 pada jam 10.40 malam, dan siasatan turut mendapati suspek adalah pembekal dadah di kawasan terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *