Kerajaan Pusat sedia dua pakej RM300 juta cegah banjir di Tawau

TAWAU, 29 Okt – Kerajaan pusat memperuntukkan kira-kira RM300 juta bagi dua pakej pelaksanaan projek pencegahan banjir di Tawau, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata, fasa pertama untuk pakej pertama projek melibatkan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Tawau, Lembangan Sungai Tawau bernilai RM50 juta yang akan dimulakan pada Jun 2019 dengan tender terbuka.

“Bagi projek ini antara kerja-kerja dilakukan ialah pelebaran tanah serta pengambilan tanah di tepi Sungai Tawau,” katanya selepas taklimat bersama Majlis Perbandaran Tawau (MPT) sempena lawatan kerja rasminya di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Xavier berkata pihaknya akan memberi kerjasama penuh termasuk dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah serta pihak berkuasa tempatan dalam mengatasi masalah berkaitan banjir dan air di negeri ini.

“Saya turut akan berbincang dengan Ketua Menteri Sabah mengenai dua isu besar di Sabah iaitu banjir serta masalah air,” katanya.

Dalam perkara berasingan, menurutnya Sabah perlu menumpukan penggunaan serta memanfaatkan sumber asli yang tidak menjejaskan alam sekitar.

“(Di peringkat kementerian) kita ada bincang (arang batu) tetapi kena lihat pada alam sekitar kerana di Sabah, kawasan arang batu ini ada di dalam kawasan hutan simpan dan hutan simpan ini penting untuk kita.

“Kita lebih suka sumber lain, Sabah juga dikurniakan sumber gas, perkara yang mengganggu alam sekitar kita tidak berapa setuju,” katanya ketika mengulas mengenai cadangan kerajaan negeri untuk meneliti  penggunaan rizab arang batu di Sabah.

Menurut Dr Xavier, Sabah terkenal dengan keindahan alamnya dan khazanah  itu perlu dipertahankan untuk tatapan generasi seterusnya dan dunia, selain mampu menjana pendapatan sendiri.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *