Bangkai pesawat Lion Air belum ditemui, senarai korban belum disahkan

ANGGOTA penyelamat melakukan operasi mencari pesawat Lion Air yang dilaporkan terhempas di perairan Karawang. – Foto AFP

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia masih belum menemui bangkai pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Tanjung Karawang pagi ini.

Menurut Ketua Lapangan Terbang Wilayah 1 Soekarno Hatta, Bagus Sunjoyo, setakat 2 petang ini, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada pasukan tentera, polis dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) masih gagal mengesan bangkai pesawat berkenaan yang terhempas di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628, selepas berlepas 6.20 pagi tadi dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.

“Pihak berkuasa turut menggunakan pasukan penyelam, selain itu nelayan juga turut membantu pihak berkuasa mengesan pesawat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata setakat ini beberapa serpihan dipercayai daripada pesawat itu telah ditemui, termasuk beberapa barangan peribadi milik penumpang pesawat berkenaan.

Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada jam 7.10 pagi waktu Indonesia bahagian barat.

Sementara itu, Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan berkata pihak kedutaan masih belum mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa Indonesia berkenaan senarai nama penumpang pesawat berkenaan.

“Kami belum mendapat pengesahan daripada kerajaan Indonesia sekiranya terdapat warga negara asing dalam pesawat itu,” katanya.

Beliau berkata pihak kedutaan juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat lengkap senarai penumpang pesawat terbabit. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *