Dua anggota PKR Kimanis direman enam hari bantu siasatan SPRM

KOTA KINABALU, 27 Okt – Dua anggota PKR Kimanis direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai ada kaitan kes salah laku rasuah.

Perintah tahanan reman ke atas suspek berumur 46 dan 47 tahun itu dikeluarkan Majistret Afiq Agoes berikutan permohonan pegawai SPRM Faliq Basiruddin.

Kedua-dua suspek yang tiba di Lokap Berpusat Kontinjen Sabah, di sini pada 11 pagi tadi dan keluar 30 minit kemudian merupakan seorang calon ketua cabang PKR Kimanis yang akan bertanding pada pemilihan parti tahun ini manakala seorang lagi anggota biasa.

Mereka ditahan di sekitar Kimanis dan dibawa ke SPRM negeri untuk siasatan lanjut sebelum ditangkap pada 8.40 malam semalam.

SPRM menahan suspek selepas agensi itu menerima maklumat bahawa kedua-dua mereka disyaki terlibat dalam memberi sogokan baru-baru ini.

Namun, SPRM masih belum dapat memastikan jumlah serta tujuan sogokan terbabit kerana masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *