Ejek-mengejek sampai bertikam

SEKADAR GAMBAR HIASAN

GARA-GARA ejek-mengejek ketika bermain snuker, lelaki parah ditikam kenalannya di hadapan premis snuker di pekan Donggongon, Penampang, kelmarin.

Kejadian 7.30 malam itu, mangsa berusia 30 tahun parah di bahagian perut akibat ditikam menggunakan pisau.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, berlaku pergaduhan antara mangsa dengan seorang lelaki yang dikenalinya ketika bermain snuker di premis di pekan Donggongon.

“Siasatan mendapati, ketika kejadian mangsa dan suspek bermain snuker dan berlaku ejek-mengejek sehingga kedua-dua mereka bergaduh.

“Sepupu mangsa cuba membantu meleraikan pergaduhan itu tetapi tidak berani kerana suspek memegang pisau.

“Mangsa cuba merampas pisau itu tetapi gagal dan berlaku pergelutan dan ditikam di perut sebelum suspek bertindak melarikan diri, manakala mangsa terbaring dengan perutnya mengalami pendarahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk rawatan dan laporan polis dibuat oleh sepupu mangsa 9.10 malam, hari yang sama.

“Berdasarkan laporan itu, suspek berjaya ditahan setengah jam kemudian oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

“Polis turut merampas pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian itu. Mangsa yang cedera di perut akibat ditikam dilaporkan stabil,” katanya.

Menurutnya, suspek warga asing berusia 26 tahun positif dadah jenis syabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *