Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah dijangka siap awal 2019

KOTA KINABALU – Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang bakal menjadi mercu tanda baharu di bandar raya ini, dijangka siap awal tahun depan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata projek yang membabitkan kos kira-kira RM850 juta itu kini telah siap sebanyak 62 peratus.

“Terdapat kelewatan dalam pembinaan projek ini kerana ada beberapa perkara yang perlu diubah suai kerana kita perlu memastikan bangunan ini menepati perakuan antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan projek berkenaan di sini hari ini.

SICC yang mula dibina pada 2015 mempunyai keluasan dalam bangunan kira-kira 77,800 meter persegi dan dilaksanakan oleh Yayasan Sabah.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata berkata kos pembinaan bangunan berkenaan adalah tinggi dan terdapat sedikit tambahan berikutan beberapa masalah yang dihadapi.

“Kita cuba sedaya upaya mengurangkan kos kerana ada peningkatan berbanding sebelum ini yang sepatutnya hanya kira-kira RM400 juta hingga RM500 juta namun kini sudah mencecah RM800 juta.

“Oleh itu segala material yang digunakan untuk membina bangunan ini adalah dari negeri ini sebagai langkah untuk mengurangkan kos. Namun apa yang penting bagi kita adalah untuk memastikan bangunan ini selamat digunakan dan mesra pengguna,” katanya.

Mohd Shafie berkata prestasi perjalanan projek berkenaan perlu dipertingkat lagi untuk memastikan projek berjalan lancar.

“Saya jangkakan projek ini sudah 80 peratus siap…tetapi baru 62 peratus. Oleh itu kita akan pantau perjalanan projek ini dan saya telah meminta orang yang berpengalaman untuk membuat pemantauan dengan lebih dekat agar ia berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata apabila siap kelak, SICC boleh membantu Yayasan Sabah menjana pendapatan selain menjadi pemangkin mempertingkatkan ekonomi negeri Sabah.

“Apabila SICC siap banyak potensi besar pendapatan bakal diperoleh termasuk penganjuran persidangan dan ekspo bertaraf antarabangsa. Dengan adanya kemudahan ini, kita yakin dapat menarik ramai pemain industri persidangan dan ekspo dunia akan datang untuk menganjurkan acara mereka di sini,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa perkongsian hasil untuk Sabah, Sarawak hanya dapat dijalankan jika keadaan fiskal bertambah baik, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri sentiasa menerima dengan baik pandangan yang dibuat pemimpin di peringkat pusat.

“Namun apa yang penting bagi kita ialah segala pandangan atau pendapat itu kita bincangkan secara keluarga. Kita tahu negara kita kini berhadapan dengan masalah ekonomi dengan bebanan hutang yang banyak,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *