7 November keputusan siapa Ketua Menteri yang sah

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 November ini untuk mendengar keputusan berhubung siapa Ketua Menteri Sabah yang sah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Yew Jen Kie menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan lisan pihak plaintif dan defendan kes saman difailkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Jen Kie menetapkan pendengaran keputusan itu dibuat pada jam 2.30 petang.

Musa pada Jun lalu memfailkan saman dengan disokong afidavit terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkaitan isu pelantikan Ketua Menteri.

Saman itu bagi mendapat pengisytiharan bahawa Musa kekal Ketua Menteri yang sah mengikut undang-undang, selain mendakwa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Dalam prosiding hari ini, peguam Tengku Fuad Ahmad dan S Vanugopal mewakili Musa, manakala Peguam Besar Negeri, Datuk Zaleha Rose Pandin dan peguam Datuk Douglas Lind masing-masing mewakili Juhar dan Mohd Shafie.

Dalam hujahnya, Tengku Fuad berkata Yang di-Pertua Negeri tiada kuasa berdasarkan Artikel 10 (4) Perlembagaan Negeri untuk meminta Musa meletak jawatan atau menganggap Musa sebagai sudah meletak jawatan.

Katanya, Juhar juga tiada kuasa membenarkan Mohd Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri baharu mengikut Artikel 6 (3) Perlembagaan Negeri memandangkan Musa sudah mengangkat sumpah.

Ia merujuk kepada pelantikan Musa sebagai Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 10 Mei lalu dan pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri baharu pada 12 Mei.

Tengku Fuad berkata, Musa tidak hilang sokongan memandangkan tiada undi tidak percaya terhadapnya apabila enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan kepada Mohd Shafie.

Vanugopal dalam hujahnya pula berkata, BN Sabah menang majoriti dengan 29 kerusi berbanding 21 kerusi oleh Parti Warisan Sabah (WARISAN) selepas PRU-14 dengan kedudukan BN diperkukuhkan lagi menerusi penyertaan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang memiliki dua kerusi.

Sementara itu, Douglas berkata, Musa tidak lagi memiliki majoriti selepas enam ADUN menyokong WARISAN yang bekerjasama dengan DAP (enam kerusi) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memiliki dua kerusi.

“Sesiapa saja yang mengawal DUN berdasarkan nombor (majoriti) akan menjadi kerajaan. Perkataan majoriti mesti ditentukan dengan nombor.

“Oleh itu, Musa hilang kepercayaan secara jelas mengikut Artikel 7(1) Perlembagaan Negeri dan perlu meletakkan jawatan. Dia tiada pilihan,” katanya.

Prosiding yang berlangsung kira-kira lima jam bermula jam 2.30 petang hingga kira-kira jam 7 malam itu turut diikuti beberapa pemimpin negeri termasuk Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew.

Pemimpin lain yang turut kelihatan ialah Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony serta Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Stephen Wong.

Di pihak Musa pula, antara penyokongnya yang hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah yang turut mengikuti prosiding berkenaan berkata kira-kira 400 penyokong kedua-dua pihak hadir mengikuti perkembangan prosiding di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, katanya tiada insiden tidak diingini berlaku dengan seramai 120 anggota polis ditugaskan mengawal keadaan di sekitar mahkamah selain di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) dan Istana Negeri.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *