Pengambilan pekerja asing melalui ejen akan dimansuhkan

Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Parlimen, hari ini.

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memansuhkan sistem pengambilan pekerja asing melalui ejen atau syarikat tertentu, kata Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, peranan 100 syarikat sumber luar yang digunakan oleh Kementerian Dalam Negeri pada masa ini akan diserahkan kepada Agensi Pekerjaan Swasta (APS) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Beliau berkata, semua syarikat itu akan diberikan suatu tempoh masa yang akan ditetapkan kemudian, untuk menempatkan pekerja asing di bawah tanggungan mereka kepada majikan dan sektor tertentu, sebelum pemansuhan itu berkuat kuasa sepenuhnya.

“Kami memutuskan untuk tidak meneruskan program ‘outsourcing’ yang kini diuruskan KDN, dan tugas itu akan diserahkan kepada Kementerian Sumber Manusia menerusi Agensi Pekerjaan Swasta kerana ada akta khas supaya ia lebih terurus dan mematuhi undang-undang.

“Ketika ini, lebih 100 syarikat ‘outsourcing’ dengan kira-kira 26,000 pekerja asing, diberi tempoh untuk menempatkan pekerja di bawah tanggungan mereka pada majikan terpilih.

“Tujuan program ini dimansuhkan adalah untuk mengelakkan perkara tak diingini yang dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini, seperti perlakuan tidak adil kepada pekerja, kes pemerdagangan manusia dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara KDN dan Kementerian Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di Parlimen, hari ini.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan sistem ejen perkhidmatan pekerja asing dimansuhkan bagi menangani isu penindasan dan perhambaan moden, selain mengurangkan kos serta membanteras isu penipuan termasuk pemalsuan dokumen.

Muhyiddin berkata, perkara lain yang diputuskan dalam mesyuarat itu adalah KDN akan mengeluarkan pas lawatan khas kepada pekerja asing yang belum menerima pas lawatan kerja sementara.

Katanya, pas itu bagi membolehkan pekerja asing memiliki dokumen sah ketika proses saringan kesihatan oleh Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA), dan ia sah selama 30 hari, selain lanjutan 30 hari lagi jika belum selesai dalam waktu berkenaan.

Sementara itu, Kulasegaran berkata jawatankuasa itu turut memutuskan untuk melaksanakan sistem levi pelbagai peringkat seperti di Singapura, selewat-lewatnya tahun depan.

Menerusi sistem itu, katanya, levi akan ditetapkan berdasarkan nisbah antara jumlah pekerja tempatan yang bekerja di sesuatu syarikat itu dengan jumlah pekerja asing yang mahu digajikan.

“Levi yang dikenakan sekarang, sebagai contoh RM640 untuk industri pertanian, akan dijadikan sebagai peringkat pertama, dan ia akan dinaikkan berdasarkan peningkatan jumlah pekerja asing yang mahu digajikan majikan.

“Kadar peningkatan itu belum diputuskan, namun ia akan ditetapkan secara berbeza-beza mengikut industri berlainan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *