Anak Musa Aman mungkin hilang kelayakan ahli Parlimen

KUALA LUMPUR –  Anak bekas Ketua Menteri Sabah, Yamani Hafez Musa akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen Sipitang jika gagal tampil mengangkat sumpah jawatan sebelum 16 Januari 2019.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, tidak ada jalan lain, selain Yamani Hafez mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen untuk mengesahkan jawatan itu.

“Wartawan boleh baca Perlembagaan Persekutuan, Yamani Hafez juga boleh baca peruntukkan di bawah Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan.

“Dia sepatutnya tahu tentang perkara ini dan kedudukan dirinya,” katanya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Yamani Hafez yang Ketua Pemuda Umno Sabah tidak hadir untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada 16 Julai lalu.

“Sekiranya dia melebihi had masa, maka undang-undang akan diambil.

“Ini adalah peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, jika lebih had masa angkat sumpah jawatan ahli Parlimennya akan terbatal,” katanya.

Sejak 16 Julai lalu hingga kini dia  masih tidak hadir dalam upacara mengangkat sumpah di Dewan Rakyat semalam, dipercayai kini berada di luar negara.

Persoalan mengenai kedudukan anak Tan Sri Musa Aman itu mula timbul selepas Yamani tidak hadir untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pertengahan Julai lalu.

Sumber : Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *