Amanah Sabah sokong Shafie sebagai ketua menteri

KOTA KINABALU – Amanah Sabah menyokong teguh kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Pengerusinya Haris Alimudin berkata Mohd Shafie dipilih secara demokratik melalui persetujuan bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) serta parti-parti komponen Pakatan Harapan dan juga Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).

“Dengan pelantikan tiga menteri penuh dan dua  timbalan menteri, ia merupakan pengiktirafan kerajaan Persekutuan terhadap peranan Parti Warisan bukan sahaja kepada pembangunan negeri Sabah tetapi kepada Malaysia umumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu hubungan baik di antara kerajaan negeri pimpinan Mohd Shafie dan kerajaan Persekutuan perlu dipertahankan demi pembangunan berterusan negeri Sabah, dan beliau berharap seluruh rakyat Sabah akan memberikan sokongan penuh kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Mohd Shafie.

Sementara itu, Haris berkata Amanah Sabah akan menolak mana-mana parti dari Sabah yang mengadakan hubungan dengan kerajaan Pakatan Harapan, selain dari parti-parti komponen yang membentuk kerajaan Sabah pada hari ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *