Lelaki cuba serang polis ditembak

Foto ihsan polis

LAHAD DATU: Seorang lelaki cedera ditembak selepas cuba menyerang anggota polis dengan parang panjang di kawasan kebun sawit Kampung Betik, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, suspek warga asing berusia 36 tahun dikatakan membawa parang panjang di kawasan perumahan di Taman Sri Perdana, di sini, menyebabkan penduduk yang bimbang berlaku kejadian tidak diingini, segera memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata sepasukan polis kemudian bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan sebelum menemui suspek sambil memegang parang.

“Anggota polis kemudian memperkenalkan diri dan mengarah suspek membuang parang serta menyerah diri. Bagaimanapun, menyedari kehadiran polis, suspek berdiri sambil memegang parang lalu melibas-libas ke arah polis pada jarak dua meter,” katanya di sini, hari ini.

Nasri berkata, polis kemudian memberi amaran sekali lagi kepada suspek untuk membuang parang yang dipegangnya, namun dia enggan dan terus bertindak agresif dengan melibas senjata itu kepada anggota polis.

“Bagi mempertahankan diri dari bahaya dan kecederaan, anggota polis melepaskan satu das tembakan mengenai kaki kiri suspek. Suspek kemudian cuba melarikan diri sambil bertindak agresif merempuh pasukan polis namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang cedera dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan dan polis merampas parang panjang yang digunakannya.

“Siasatan mendapati suspek terbabit dalam lima kes kejadian khianat iaitu memecahkan cermin rumah dan kereta di Taman Sri Perdana. Dia juga sering berkeliaran di kawasan taman itu dengan membawa parang,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sumber : Berita Harian

Foto ihsan polis
SUSPEK warga asing membawa parang panjang di kawasan perumahan di Taman Sri Perdana, Lahad Datu. – Foto ihsan polis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *