Mayat terputus

New Delhi: Kira-kira 60 orang disahkan terbunuh, manakala puluhan lagi cedera apabila sebuah kereta api merempuh orang ramai yang leka melihat pertunjukan bunga api dalam kejadian di Amritsar, India, kelmarin.

Kereta api terbabit dikatakan merempuh mangsa yang berada di atas landasan untuk melihat bunga api yang dibakar sempena sambutan festival.

Dua minit sebelum itu, sebuah kereta api yang dilaporkan turut menuju ke arah sama sempat mengelak merempuh orang ramai.

Polis berkata, bunyi letupan bunga api yang terlalu kuat menyebabkan mangsa tidak mendengar kereta api ekspres Jalandhar-Amritsar itu menuju ke arah mereka sebelum dirempuh.

Rempuhan kuat terbabit menyebabkan mayat terputus dan mungkin mengambil masa beberapa hari untuk dikenal pasti.

Jumlah mayat yang terlalu ramai menyukarkan pihak hospital untuk menyediakan ruang cukup di rumah mayat apabila ada sebahagiannya terpaksa diletakkan di luar.

Ketua pegawai perubatan Amritsar, Hardeep Singh memberitahu AFP, pihaknya mengesahkan 59 mangsa terbunuh, manakala 90 lagi mengalami kecederaan.

Katanya, sehingga kini hanya 25 mayat mangsa dapat dikenal pasti.

Manakala gabenor negeri Punjab, V P Singh Badnore berkata, mereka yang bertanggungjawab harus dikenakan tindakan sepatutnya.

Kemalangan terbaru itu sekali gus menimbulkan desakan supaya keselamatan sistem kereta api di kawasan kerap berlaku kemalangan ditingkatkan apabila merekodkan bilangan kematian yang tinggi pada setiap tahun.

Laporan kerajaan India pada 2012 menyatakan kematian kira-kira 15,000 penumpang kereta api dalam kemalangan setiap tahun ibarat pembunuhan beramai-ramai.

Kerajaan berhasrat memperuntukkan AS$137 bilion (RM569 bilion) untuk tempoh lima tahun dalam meningkatkan sistem rangkaian kereta api lebih moden.

Sumber : AFP

Orang ramai melihat mayat mangsa yang terbaring di atas landasa selepas dirempuh kereta api di Amritsar, India kelmarin. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *