Lepasan sekolah, IPT Sabah perlu pastikan mereka boleh diambil bekerja

SIPITANG, 21 Okt – Lepasan sekolah dan siswazah institusi pengajian tinggi (IPT) perlu memastikan mereka mampu mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian masing-masing.

Menteri Pendidikan dan Inovasi negeri Datuk Dr Yussof Yacob berkata terdapat jumlah siswazah menganggur yang tinggi selalunya kerana kelulusan mereka tidak mendapat permintaan tinggi di pelbagai sektor industri.

“Lepasan sekolah dengan kelulusan yang baik terutamanya mesti tahu permintaan daripada sektor industri sebelum memasuki institusi pengajian tinggi, bagi membolehkan mereka  mendapat  pekerjaan  selepas tamat pengajian,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan insentif “Ritz Supplier Staff Outstanding Performance” di sini hari ini.

Dr Yussof juga menggesa peserta industri dan sektor korporat  untuk membantu kerajaan  mengurangkan  kadar pengangguran dalam kalangan siswazah dengan mengadakan kerjasama dan memorandum persefahaman dengan institusi pengajian tinggi atau institusi kemahiran dalam pekerjaan yang mempunyai permintaan.

“Saya sudah mencadangkan peserta industri seperti Ritz Supplier Sdn Bhd, yang merupakan sebuah syarikat Bumiputera-Sabah berdaftar yang berkecimpung dalam industri berkaitan minyak dan gas supaya bekerjasama dengan institusi kemahiran untuk pengambilan pekerja di masa hadapan bagi siswazah tempatan,” katanya.

Dr Yussof berkata Sipitang yang kini menuju ke arah menjadi sebuah wilayah perindustrian, permintaan  tenaga  kerja mahir dalam minyak dan gas, pembalakan, perikanan dan pelancongan semakin meningkat.

“Kementerian saya juga sedang melihat kepada lebih banyak program keusahawanan yang diperkenalkan  di institusi pengajian tinggi di negeri ini kerana ini adalah satu cara mengeluarkan siswazah yang berpengetahuan di dalam bidang perniagaan,” kata beliau.

Beliau berkata hanya 50 peratus daripada lepasan sekolah dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia di Sabah atau 22,000 melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sementara selebihnya tidak ke mana-mana, sama ada menganggur atau menetap di kampung.

“Ini adalah tidak sihat dan tida produktif kepada negeri dan negara kita, kerana setiap individu  perlu  mempunyai kemahiran berdasarkan sumber mereka miliki dan keupayaan menjana pendapatan,” katanya.

-BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *