John Ghani umum tarik diri tanding ketua cabang PKR Beaufort

Datuk John OT Ghani

KUALA PENYU, 21 Okt – Penyandang Ketua Cabang PKR Beaufort Datuk John OT Ghani mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatannya menjelang  pemilihan Cabang PKR Beaufort yang dijadualkan diadakan pada 3 Nov ini.

John Ghani mengumumkan penarikan diri daripada bertanding jawatan itu semasa  berucap pada majlis ramah mesra bersama calon Anggota Jawatankuasa Cabang PKR Beaufort yang diadakan di kampung Kepayan Skim petang semalam.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Naib Presiden PKR Pusat itu berkata keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor dan kepentingan lain bagi memberikan  keutamaan serta tumpuan khusus  untuk membantu kepimpinan tertinggi parti memperkukuhkan kekuatan  parti yang baru saja mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

“Saya rasa sudah sampai masa untuk saya beri peluang kepada pihak lain terutamanya pemimpin lebih muda yang komited, berwibawa  dan setia dalam perjuangan  parti untuk  menyampaikan khidmat mereka,” katanya.

Sambil menyatakan sokongannya kepada Abdul Rahman Yakub, seorang daripada calon Ketua Cabang PKR Beaufort, John berkata dalam konteks pembaharuan parti, ia memerlukan golongan baharu  yang komited, bertenaga dan setia bagi membawa idea serta kecekapan baharu bagi memperkasakan parti menghadapi cabaran mendatang.

“Seorang calon Ketua Cabang bukan sahaja setia kepada perjuangan parti tapi  perlu ada kewibawaan, sentiasa turun padang dan mudah mendekati anggota parti di peringkat akar umbi,” katanya.

Berikutan penarikan diri John Ghani itu, saingan sengit dijangka berlaku antara  Abdul Rahman, yang juga Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, dengan Muali Aching dalam pertandingan satu lawan satu.

Abdul Rahman ketika diminta mengulas penarikan John Ghani, menzahirkan terima kasih kepada John Ghani dan menyifatkan keputusan itu demi kekuatan serta perpaduan dalam parti.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *