Maafkan kami…

SEKUMPULAN kanak-kanak melakukan perbuatan khianat di premis dobi di Jalan Haji Karim, Tawau. – Foto media sosial

TAWAU: “Saya anggap perkara ini selesai dan mereka juga sudah menyesal serta berjanji tidak mengulangi perbuatan itu,” kata Abdullah Mappiare, 27, pengurus dobi layan diri di Jalan Haji Karim di sini.

Beliau berkata demikian susulan permohonan maaf oleh sekumpulan kanak-kanak, dipercayai kanak-kanak jalanan yang melakukan perbuatan khianat di premis dobi itu, termasuk seorang membuang air kecil di tong sampah, awal pagi kelmarin.

Abdullah berkata, kumpulan kanak-kanak itu datang ke premisnya petang semalam dan memohon maaf atas tindakan yang mereka lakukan sebelum ini.

“Saya juga tidak mahu memanjangkan perkara ini dan memohon kerjasama orang ramai supaya terus menyokong kedai dobi kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan kejadian itu bukan pertama kali, malah sebelum itu kumpulan kanak-kanak sama kerap mencuri barangan untuk kegunaan dobi seperti cecair pelembut pakaian dan bakul.

Semalam, rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kegiatan sekumpulan kanak-kanak berperangai tidak senonoh dan membuang air kecil di dalam tong sampah di premis dobi 24 jam itu viral di laman sosial.

Rakaman CCTV berdurasi lebih seminit itu, menunjukkan sekumpulan kanak-kanak berlari ke arah beberapa mesin basuh seolah-olah hendak mengambil pakaian pelanggan yang menggunakan perkhidmatan di kedai dobi berkenaan.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *