Kaunter tiket di Likas hambar

TINJAUAN penjualan tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Sabah dengan Perak di kaunter jualan tiket di perkarangan Stadium Likas agak lengang. – Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Jualan tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di antara Sabah dengan Perak yang akan berlangsung di Stadium Likas, di sini, malam esok, agak perlahan.

Difahamkan sejak kaunter dibuka pada jam 9.30 pagi tadi, kurang 1,000 tiket dijual sehingga jam 12 tengah hari dan situasi itu sangat berbeza berbanding ketika aksi suku akhir bertemu Kelantan apabila lebih 6,000 tiket berjaya dijual dalam tempoh sama.

Keadaan itu mungkin disebabkan peluang Sabah untuk layak ke final musim ini agak tipis selepas kekalahan 0-5 kepada The Bos Gaurus dalam aksi separuh akhir pertama di Ipoh pada 7 Oktober lalu.

Tinjauan Sukan NSTP di perkarangan Stadium Likas pagi tadi mendapati kaunter jualan tiket agak lengang dengan hanya beberapa penyokong silih berganti membeli tiket perlawanan.

Bagaimanapun, mereka yang datang lebih awal tadi masing-masing membeli tiket dengan kuantiti lebih daripada lima, malah ada yang membeli sebanyak 10 tiket, iaitu kuantiti yang dihadkan bagi setiap penyokong.

Seorang penyokong dari Putatan, Mahmud Mohd Jais, 39, berkata kekalahan besar kepada Perak pada aksi separuh akhir pertama memberi kesan kepada kehadiran penyokong malam esok.

“Bagaimanapun, saya yakin masih ramai penyokong yang akan hadir esok, mungkin mereka datang lambat sikit (untuk membeli tiket perlawanan) kerana mahu mengelak daripada berbaris panjang seperti sebelum ini.

“Saya tidak pernah terlepas aksi Sabah di sini (Stadium Likas) sejak dari dulu lagi dan tiada alasan bagi saya untuk tidak hadir beri sokongan kepada pasukan negeri sendiri.

“Kita mungkin kalah besar di Perak, tetapi saya setuju dengan ungkapan bola itu bulat dan apa pun boleh berlaku, namun apa yang paling penting, saya dan kawan-kawan perlu beri sokongan kepada Sabah…kalah atau menang Sabah ‘tatap’,” katanya.

Seorang lagi penyokong Sabah, Andy Mark, 30, turut berkongsi pendapat sama, malah dia masih yakin skuad kendalian Jelius Ating itu mampu mencipta keajaiban di gelanggang keramat mereka.

“Memang agak tipis, tapi saya tidak mahu terlepas menyaksikan ‘keajaiban’ di depan mata sekiranya ia benar-benar berlaku esok.

“Saya juga harap Sabah akan menang walaupun mungkin bukan rezeki untuk kita layak ke final, pasukan ini telah pergi jauh musim ini dan bagi saya, semua penyokong perlu datang memberikan semangat kepada mereka,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *