UPKO sambut baik keutamaan yang ditampil kajian separuh penggal RMk11

KOTA KINABALU – Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) menyambut baik penekanan dan keutamaan baru yang diketengahkan oleh Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Parlimen hari ini.

Presidennya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata beliau berjarap pelaksanaan strategi dan keutamaan kajian itu bukan hanya bertujuan membawa pembaharuan kepada institusi sedia ada semata-mata, tapi ia juga seharusnya juga disusuli dengan kestabilan politik dan keamanan, keharmonian serta kesejahteraan kepada negara.

“Penekanan kepada tadbir urus yang baik bermula dengan pengasingan kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan. Amat melegakan apabila kita dengar kajian itu menekankan kepada keperluan ‘semak dan imbang’ yang lebih baik, di samping meningkatkan kerjasama antara unit persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata cadangan untuk memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen juga disambut baik dan UPKO percaya ia akan mengukuhkan lagi peranan serta fungsi parlimen.

Selain itu katanya beliau menyambut baik program khas yang akan dilaksanakan khusus buat Orang Asli, Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak di kawasan luar bandar dan pedalaman, sebagai mekanisma untuk memperkasa kumpulan minoriti di Sabah dan Sarawak ini.

“Perkara ini turut disebut dalam RMK8, namun tidak banyak yang tercapai. Saya harap inisiatif kali ini akan memperoleh hasil yang lebih baik terutama di dalam persekitaran tadbir urus baik yang ditingkatkan,” tambahnya.

Menurut Tangau kajian itu turut memperakui dan memberi keutamaam kepada isu yang memberi kesan terhadap ketidakseimbangan pembangunan wilayah, terutama di Sabah dan Sarawak, termasuk dari aspek pembekalan keperluan asas seperti tenaga elektrik, air dan ketersambungan di samping infrastruktur kritikal seperti logistik dan pengangkutan.

Beliau turut menyambut baik penekanan kajian itu terhadap keperluan untuk menangani cabaran dalam isu pemilikan tanah semasa berhadapan dengan penduduk asal setempat, terutama yang melibatkan Tanah Hak Adat di Sabah dan Sarawak.

“Keutamaan diberikan kepada sub-sektor pekilangan amat dialu-alukan dan kita harap Sabah akan mendapat bahagiannya yang adil daripada pelbagai insentif kerajaan, terutama dalam menarik pelabur yang berkualiti ke Sabah, lebih-lebih lagi ke taman perindustrian sedia ada,” tambahnya.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *