‘Isteri dakwa ada syaitan dalam bilik’

KUARTERS sebuah pusat peranginan di Pulau Mantanani, Kota Belud, Sabah, di mana berlaku kes kelar anak oleh ibu kandung. – Foto Ihsan pembaca

KOTA KINABALU: “Sejak dua minggu lalu isteri berkelakuan pelik dengan menjerit dan mengatakan bilik ini ada syaitan.”

Demikian diceritakan Yohanes Kolin, 54, bapa kepada empat kanak-kanak yang dikelar ibu kandung mereka sendiri mengakibatkan seorang daripada mereka maut dalam kejadian di bilik pekerja sebuah resort di Pulau Mantanani, Kota Belud, semalam.

Yohanes berkata, pagi sebelum kejadian itu, isterinya yang berusia 30 tahun menghentak-hentak kepalanya pada tiang bilik lalu dia menegur supaya berhenti berkelakuan seperti itu.

“Keadaan dia kembali tenang dan dia minta saya meneruskan pekerjaan sambil membawa masuk empat anak ke bilik. Saya masih tidak percaya dengan apa yang berlaku kerana isteri amat menyayangi anak-anak, lebih-lebih lagi Jerry.

“Tidak tahu mengapa dia (isteri) bertindak sedemikian kerana anak-anak amat manja dengannya. Malah sebelum kejadian, isteri menyuap biskut dan menuangkan minuman kepada anak-anak,” katanya ditemui di luar bangunan Unit Kecemasan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, anak bongsu Yohanes berusia lapan bulan, Jerry, mati di lokasi kejadian akibat dikelar di leher, manakala Jihan, 2, dan kakaknya Melati, 5, kritikal, dan Nurul Hanisah, 7, parah dan semuanya dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.

Isteri Yohanes, Erina Jimmy, 30, turut kritikal selepas dilaporkan mengelar lehernya sendiri namun dihalang oleh Yohanes dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini.

Difahamkan, Yohanes bekerja sebagai tukang kebun di sebuah pusat peranginan di Pulau Mantanani, manakala isterinya suri rumah.

Menceritakan detik menyayat hati itu, Yohanes berkata, dia baru pulang ke rumah sebelum terdengar suara anak-anak meminta tolong dari dalam bilik.

“Saya terus meluru masuk ke bilik dan membuka pinta namun ia terkunci. Sebaik meninjau dari tingkap, saya terkejut melihat dua anak dalam keadaan berlumuran darah.

“Lalu saya segera merempuh masuk ke bilik dan lihat isteri sedang mengelar lehernya dengan pisau sebelum menahan tangannya dan merampas pisau yang digunakan itu.

“Dua anak yang cedera keluar dari bilik. Saya berlari keluar untuk minta bantuan pihak berkuasa yang kebetulan membuat rondaan,” katanya

Beliau berkata, dia bersama beberapa anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 16 segera ke lokasi kejadian dan membantu menghantar anak serta isterinya yang parah ke hospital menggunakan bot.

Sumber : Berita Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *