Kerajaan Harap Ahli Geologi UMS Bantu Tangani Ancaman Tsunami Di Sabah

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berharap Ahli Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Dr Felix Tongkul dapat membantu kerajaan negeri dalam membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang bencana alam seperti gampa bumi dan tsunami.

Dalam konteks Tawau seumpamanya, Christina menegaskan bahawa bantuan ahli Geologi diperlukan kerana ancaman tsunami tidak dapat diramal bila ia akan berlaku seperti insiden yang menimpa Palu Indonesia baru-baru ini.

“Saya berharap ahli Geologi akan dapat mengenal pasti kawasan yang akan terjejas dan apa yang harus dilakukan sebagai langkah awal,” katanya ketika ditanya pemberita selepas membuat lawatan di kawasan setinggan Bukit Punai Jalan Menteri di sini hari ini.

Katanya beliau akan mengadakan pertemuan dengan Felix untuk memahami lebih lanjut mengenai isu tersebut.

Sementara itu, melalui kenyataan yang dikeluarkan Felix pada Program Pendidikan Awal Bencana Gempa Bumi dan Tsunami, katanya Tawau terdedah kepada beberapa punca atau sumber berlakunya tsunami.

Katanya antara sumber tsunami di kawasan perairan Tawau adalah seperti Manila Trenches, Mindoro Trenches, Cotabato Trenches dan North Sulawesi Trenches, sepertimana pergerakan tanah yang berlaku di cerunan Laut Cina Selatan.

Tambahnya, simulasi tsunami yang dijalankan juga menunjukkan gelombang tsunami berkenaan adalah antara ketinggian satu meter hingga lima meter dan boleh menimpa Sabah antara 30 minit ke 120 minit.

Menurutnya lagi ancaman tsunami di Tawau sangat tinggi kerana kebanyakan topografinya rendah dan daerah berkenaan terdedah dengan gelombang dari laut Sulawesi yang juga terletak berdekatan dengan kawasan panas tsunami.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan kepada masyarakat Tawau agar berhati-hati dan bersiapsiaga sentiasa bagi menghadapi ancaman tsunami pada masa akan datang.

Sumber -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *