Swafoto bawa maut

Mangsa hilang imbangan ketika mengambil swafoto di balkono kediamannya yang terletak di tingkat ke-27.

WANITA maut selepas terjatuh dari tingkat ke-27 blok apartmen kediamannya di Panama City apabila hilang imbangan ketika mengambil swafoto di balkoni.

Sandra Manuela Da Costa Macedo, 27, duduk atas selusur di balkoninya dan mengambil swafoto sebelum bersandar ke belakang menyebabkannya terjatuh dalam kejadian jam 10 pagi pada Sabtu lalu, lapor The Mirror.

Orang yang merakam tragedi itu didengar menjerit: “Dia gila, tengoklah dia sudah jatuh.”

Paramedik yang bergegas ke situ bagaimanapun tidak dapat menyelamatkannya dan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut laporan, kes itu masih disiasat namun polis berkata, dia mungkin hilang imbangan kerana tiupan angin yang kuat.

Daily Mail melaporkan, mangsa warga Portugis yang baru tiba untuk percutian di Panama. Buruh yang bekerja di bangunan bersebelahan dilaporkan menjerit supaya dia turun dari selusur berkenaan, namun mangsa mungkin tidak mendengarnya kerana angin terlalu kuat.

Susulan itu, perkhidmatan bomba Panama mengeluarkan amaran di akaun Twitter rasminya yang berbunyi: “Jangan gadai nyawa demi swafoto. Lebih baik hilang seminit dalam kehidupan anda berbanding hilang kehidupan anda dalam seminit.”

Sumber : Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *