Dapat isteri cantik konon

Petikan rakaman dua lelaki yang memberitahu orang ramai bahawa kerajaan akan memberikan wanita ‘cantik’ sebagai isteri. – FOTO SCMP

PIHAK berkuasa di selatan China menuduh dua rakan menyebarkan maklumat palsu bahawa lelaki bujang akan dihadiahkan isteri warga asing dalam perancangan membanteras kemiskinan kerajaan.

Dua lelaki itu merakam diri mereka memberitahu orang ramai bahawa kerajaan akan memberikan wanita Jepun dan Russia yang ‘cantik’ kepada lelaki di Guizhou, wilayah termiskin China yang mempunyai nisbah 120 lelaki bagi setiap 100 perempuan iaitu antara ketakseimbangan jantina terburuk di negara berkenaan.

Menurut kenyataan pihak berkuasa di Weibo, dua rakan itu dilihat dalam dua rakaman video memberitahu lelaki tempatan supaya sentiasa memastikan bersedia menjawab panggilan telefon kerana akan dihubungi dalam masa terdekat untuk mengambil isteri baru mereka.

South China Morning Post melaporkan, rakaman itu sengaja dibuat untuk menipu pengguna media sosial bahawa usaha itu memang sedang dilakukan, malah disebarkan meluas dalam kumpulan WeChat di kawasan itu.

Khabar angin kemudian tersebar bahawa dua lelaki itu kakitangan kerajaan yang terbabit dalam perancangan membanteras kemiskinan kerajaan yang menyasarkan menghapuskan kemiskinan di luar bandar menjelang 2020.

Apabila pihak berkuasa di Anshun mendapat tahu perkara itu, siasatan terus dilancarkan bersama polis tempatan seterusnya dua lelaki terbabit berjaya dikenal pasti.

Kisah dua rakan itu kini disiarkan sebagai contoh kepada masyarakat dalam laman web diwujudkan Sina News untuk menghapuskan berita palsu. Tidak jelas apa hukuman bakal dikenakan terhadap mereka.

Sumber : Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *