DAP Sabah tak lobi gelaran Datuk

KOTA KINABALU: DAP Sabah menafikan pernah melobi untuk mendapatkan pingat dan darjah kebesaran negeri yang membawa gelaran Datuk selepas beberapa pemimpinnya tersenarai menerima gelaran itu sempena Hari Jadi Rasmi Ke-65 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, baru-baru ini.

Memetik laporan akhbar tempatan, Pengerusinya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, berkata walaupun mengakui parti itu sebelum ini memutuskan tidak menerima anugerah membawa gelaran Datuk, situasi parti itu di Sabah berbeza dengan negeri lain.

Beliau berkata, tindakan DAP Sabah termasuk beliau sendiri menerima Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk daripada Istana Negeri adalah sebagai menghormati Yang di-Pertua Negeri.

“Dalam Konvensyen DAP memang perkara ini dibangkitkan bahawa pemimpin dan ahli dinasihat tidak menerima apa-apa anugerah, tetapi tiada ada peraturan secara hitam putih mengatakan kita tidak boleh menerimanya.

“Tambahan pula, kami (DAP Sabah) kesuntukan masa kerana senarai sudah dikeluarkan pada sebelah petang 4 Oktober lalu manakala majlis diadakan pada lusa (6 Oktober).

“Ketua Menteri juga menasihati kami supaya tidak risau untuk menerima anugerah itu memandangkan situasi di Sabah adalah berbeza dengan negeri lain,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, berkata keputusan untuk menerima anugerah itu tidak harus terus dijadikan isu.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *