Usaha Bantu Rakyat Daftar Lewat Surat Beranak Akan Diteruskan : Shafie

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri baharu pimpinan Warisan akan meneruskan usaha membantu rakyat Sabah yang menghadapi masalah daftar surat beranak lewat dan kad pengenalan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberi jaminan bahawa Kerajaan negeri berniat baik.

“Kalau saya dengar segala tohmahan politik, saya tidak boleh buat kerja. Biarlah orang nak cakap apa tetapi yang penting rakyat mendapat pertolongan dari kerajaan,” katanya.

Mohd Shafie berkata demikian dalam amanatnya di majlis angkat sumpah Setiausaha Politik di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

Mohd Shafie menambah bahawa dalam program Bersama Ketua Menteri di Keningau baru-baru ini, beliau bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick mendengar banyak permasalahan mengenai surat beranak dan kad pengenalan daripada penduduk di kawasan pedalaman.

Menurutnya, ini adalah golongan rakyat yang diberi bantuan kerana mereka benar-benar memerlukan.

Pada masa yang sama, Mohd Shafie juga menafikan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dibubarkan.

“Jangan percaya kepada (kenyataan-kenyataan di) media sosial.  Kenapa perlu bubar? Kita (Kerajaan negeri pimpinan Warisan) mempunyai majoriti dalam DUN,” katanya.

Turut hadir dalam majlis angkat sumpah tersebut adalah timbalan-timbalan ketua menteri dan menteri kabinet Sabah.
Sumber  – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *