Tawar rasuah RM150; lelaki dipenjara tujuh hari, denda RM10,000

KOTA KINABALU, 10 Okt  – Gara-gara menawarkan rasuah RM150, seorang lelaki terpaksa membayar denda RM10,000 dan penjara tujuh hari selepas dia mengaku salah menawarkan wang rasuah itu kepada seorang pegawai polis trafik sebagai dorongan supaya tindakan undang-undang tidak diambil terhadap dirinya.

Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Ranau hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda ke atas Benedick Binti, 53, selepas tertuduh mengaku menawarkan rasuah pada 7 April 2018, antara jam 7.30 pagi hingga jam 8.30 pagi, di KM106.2 Jalan Kota Kinabalu-Sandakan, daerah Ranau.

Berdasarkan fakta kes yang disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Abu Bakar Manat, tertuduh menawarkan wang rasuah itu dengan harapan dia tidak dikenakan tindakan undang-undang kerana cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis dalam sekatan jalan raya.

Benedick membayar denda berkenaan namun dia dihantar ke Penjara Pusat Kota Kinabalu di Kepayan bagi menjalani hukuman penjara tujuh hari yang dikenakan atas dirinya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Norbert Liew Chee Vui.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *