SPRM tahan 11 anggota polis

PEGAWAI SPRM membawa sebahagian daripada 11 anggota polis yang ditahan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas tuduhan meminta dan menerima rasuah

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 11 anggota dan pegawai polis, termasuk seorang yang sudah bersara, bagi membantu siasatan berkaitan kes meminta dan menerima suapan daripada pengedar dan penagih dadah sejak 2014.

Semua anggota dan pegawai terbabit ditahan antara jam 2 petang semalam hingga 8 malam tadi di beberapa daerah.

Lapan daripada mereka bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, termasuk seorang yang sudah bersara, selain masing-masing seorang dari IPD Beluran, di IPD Kota Kinabalu dan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah.

Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan semua mereka direman tujuh hari mulai hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 selepas permohonan reman dibuat Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Mohd Faliq Basiruddin, di depan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

Mohd Faliq berkata, semua suspek dipercayai pernah bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di IPD Kota Belud.

PEGAWAI SPRM membawa sebahagian daripada 11 anggota polis yang ditahan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas tuduhan meminta dan menerima rasuah

“Mereka yang ditahan terdiri daripada anggota berpangkat koperal, lans koperal, sarjan dan inspektor. Mereka dipercayai menerima wang rasuah secara tunai atau melalui transaksi bank secara harian, mingguan dan bulanan,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai berlaku sejak 2014 hingga Jun lalu dengan jumlah keseluruhan suapan dianggarkan mencecah puluhan ribu ringgit.

“Mereka dipercayai menerima suapan daripada orang awam sebagai dorongan untuk melindungi pesalah daripada diambil tindakan atas kesalahan menagih atau memiliki dadah,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *