Sistem perniagaan tukar barang di Sabah bermula 1 Jan 2019 – Mohd Shafie

KOTA KINABALU, 9 Okt – Sistem perniagaan tukar barang (barter trade) antara Sabah dan negara jiran yang dihentikan atas faktor keselamatan sebelum ini, akan mula beroperasi pada 1 Jan 2019.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sistem berkenaan akan beroperasi di empat kawasan yang mempunyai jeti untuk perniagaan tersebut di Kudat, Tawau, Sandakan dan Lahad Datu.

“Kawasan ini kita jadikan sebagai pangkalan untuk perdagangan tukar barang, bukan hanya dengan Filipina tetapi juga Indonesia.

“Saya yakin ini akan memberi peluang kepada usahawan tempatan meningkatkan peluang perniagaan di samping menyediakan pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan menghidupkan semula sistem itu dibuat apabila terdapat banyak permintaan daripada peniaga yang terlibat dalam sistem perniagaan itu.

Ketua Menteri berkata terdapat beberapa prosedur operasi standard (SOP) juga ditambah baik bagi membolehkan sistem perniagaan tukar barang itu berjalan dengan baik dan lancar.

Mohd Shafie berkata antara SOP itu termasuk penggunaan bot yang akan digunakan, barang perlu didagangkan dan cara mengenal pasti kawasan sekiranya berlaku sesuatu kejadian tidak diingini.

“Tahap keselamatan juga akan dipertingkatkan bagi memastikan operasi sistem perniagaan tukar barang lebih banyak berbanding sebelum ini,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *