Sabah akan mohon peruntukan baiki 600 sekolah daif

TAWAU, 9 Okt – Sabah akan memohon peruntukan kepada kerajaan pusat untuk membaiki kira-kira 600 sekolah daif di negeri ini, kata Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob.

Beliau berkata satu kertas kerja telah dibuat dan akan diserahkan kepada kerajaan pusat pada minggu hadapan untuk tindakan lanjut.

“Terdapat lebih kurang 600 sekolah daif yang perlu pembaikan kadar segera, tapi kalau kena tunggu tempoh lima tahun untuk selesai, maka sekolah yang baikpun akan jadi daif dalam tempoh itu.

“Sebab itu kena mohon peruntukan lebih supaya sekolah daif ini dibaiki segera kerana ketika ini dirancang 120 sekolah dibaiki dalam setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Bicara Bersama Menteri bersempena Konvensyen Profesional dan Persidangan Agung Majlis Guru Besar Negeri Sabah di sini, hari ini.

Sementara itu, Yusof menekankan supaya semua guru besar di negeri in melakukan perubahan dengan memastikan pendidikan mapan sampai sepenuhnya kepada pelajar.

“Guru besar kena berubah, cara mengurus, buat kerja dan pentadbiran kena lihat menyeluruh, kita tidak mahu dengar ada lagi murid bila masuk ke sekolah menengah masih tidak pandai mengira atau membaca,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata segala perbincangan, permasalahan serta cadangan bernas  yang direkodkan dan dirumuskan dalam konvesyen itu akan dibawa ke pengetahuan peringkat atasan.

“Antara permasalahan yang disuarakan adalah berhubung sistem pembelajaran, tiada akses internet, masalah penguasaan bahasa Inggeris dan isu yang dibangkitkan akan dibawa ke pengetahuan kerajaan pusat untuk tindakan berkesan,” katanya.

Sumber – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *