Cadangan bina SMK Kuala Tomani hampir tercapai – ADUN Kemabong

Jamawi Jaafar – GAMBAR BERNAMA

TENOM, 7 Okt – Cadangan projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Tomani  hampir menjadi kenyataan berikutan pengurusan Skim Penempatan Getah Kuala Tomani telah memberi lampu hijau untuk menyediakan tapak bagi projek itu.

Ketika mengumumkan perkembangan terbaru itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Kemabong Jamawi Jaafar berkata pihaknya sedang dalam proses perbincangan susulan bagi perhalusi beberapa terma sebelum persetujuan muktamad dicapai.

“Pada dasarnya pengurusan Skim Penempatan Getah Kuala Tomani bersetuju untuk menyediakan tapak seluas 30 ekar (kira-kira 12 hektar),” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Kejohanan Olaraga Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tomani di sini, hari ini.

Jamawi berkata permohonan bagi projek SMK Kuala Tomani itu telah lama dimajukan kepada Kementerian Pendidikan dalam usaha menangani kesesakan pelajar di SMK Kemabong di daerah itu selain penyelesaian terbaik bagi menangani masalah pelajar yang terpaksa menempuh perjalanan sejauh 15 kilometer untuk ke SMK Kemabong.

“Dengan perjalanan yang sangat jauh, pelajar terdedah dengan pelbagai bahaya khususnya mereka (pelajar) yang bersekolah pada sesi petang dan pulang ke rumah sehingga lewat malam.

“Fokus kita ialah memberi kesamarataan kepada setiap pelajar dan mengurangkan bebanan keluarga yang terpaksa menyewa kereta atau menumpangkan anak-anak mereka di rumah saudara mara untuk ke sekolah di SMK Kemabong,” katanya.

Sumber – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *