Penjawat awam perlu tingkatkan kepelbagaian dalam tugas – Shafie Apdal

KOTA KINABALU, 7 Okt – Penjawat awam perlu meningkatkan kepelbagaian dalam tugas agar berupaya memberi perkhidmatan terbaik ke arah pembangunan rakyat dan negara kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya, penjawat awam memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat hari ini dan juga generasi masa depan.

“Saya berharap perkhidmatan awam memainkan peranan penting (dalam pembangunan negara), khususnya dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak begitu stabil.

“Tetapi kita yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai semangat yang cukup kental dan pandangan yang jelas dalam membaharui pentadbiran negara,” katanya pada Majlis Jasamu Dikenang sempena persaraan wajib Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Nor Rizan Mohd Thani di sini hari ini.

Mohd Shafie turut memberitahu kerajaan bergantung kepada perkhidmatan awam yang cekap dan mampu menjadi enjin pertumbuhan negara.

Sementara itu, Nor Rizan, yang memulakan tugas sebagai Setiausaha Persekutuan Negeri sejak April tahun lepas, berkata beliau bersyukur atas hubungan baik, khususnya dengan kerajaan negeri, sepanjang perkhidmatannya di Sabah.

“Telah menjadi hasrat kami (Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah) untuk memahami semua perancangan kerajaan negeri agar memudahkan kerja kami menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada Sabah,” katanya.

Sumber – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *