Lamaran Pelik

Foto Daily Mail

Manila: Seorang lelaki memilih cara pelik untuk melamar kekasihnya apabila berpura-pura mati dalam kemalangan motosikal sebelum tiba-tiba ‘hidup semula’ dan melamar wanita yang menangis teresak-esak itu.

Daily Mail melaporkan, rakaman yang diambil pada 30 September lalu menunjukkan Jeffrey Delrio terbaring di atas jalan di Cotabato Selatan, Filipina.

Polis trafik yang turut berpakat dengan lelaki itu memberitahu teman wanitanya, Shiela Parayanon supaya bersedia menerima berita buruk.

Shiela yang panik terus berlari ke arah teman lelakinya sambil menangis dan menerusi rakaman itu, turut kedengaran suaranya meraung kerana tidak dapat menerima berita itu.

Polis cuba membantu sebelum lelaki itu tiba-tiba bangun melutut serta mengeluarkan kotak merah mengandungi cincin pertunangan.

Foto Daily Mail

Terkejut dengan perbuatan itu, wanita terbabit terus memeluk polis wanita kerana lega apabila teman lelakinya sebenarnya masih hidup.

Orang ramai didengar bersorak, manakala Sheila menepuk manja tangan kekasihnya sebelum menerima lamaran berkenaan.

Rakan mereka, Mark Apura yang merakam lamaran itu menyifatkannya sebagai saat romantis.

“Ia memang berlainan. Orang menganggap ia pelik untuk membuat lamaran seperti itu. Jeffrey kelihatan seperti cedera parah, namun hidup semula apabila teman wanitanya datang. Saya gembira,” katanya.

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu turut menimbulkan kurang senang apabila seorang wanita berkata : “Ia tindakan yang amat pelik. Jika saya menjadi wanita itu, saya tinggalkannya saja di situ.”

Sumber : Agensi

Shiela berlari sambil menangis ke arah ‘mayat’ Jeffrey. Foto Daily Mail
JEFFREY melamar Sheila dan orang ramai bersorak melihat kejadian itu. FOTO Daily Mail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *