Arwah Mazlan rancang beli rumah, bantu siapkan rumah keluarga

TAWAU: Allahyarham Mazlan Omarbaki sudah merancang untuk membeli sebuah rumah di Bandar Sri Indah, di sini dan sempat mengurus proses jual beli serta pinjaman sebagai persediaan apabila permohonannya untuk pulang bertugas di sini, diluluskan.

Kakaknya, Zuriyah Omarbaki, 28, berkata Mazlan sebelum ini memaklumkan sudah beberapa kali memohon kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk pulang bertugas di sini.

“Sebagai persediaan, dia mahu membeli sebuah rumah supaya apabila permohonannya diluluskan dia sudah ada rumah sendiri di sini, selain untuk keselesaan keluarga kerana ketika ini kami masih menyewa.

“Apa yang saya tahu, dia sudah mengurus jual beli rumah dengan peguam dan memohon pinjaman namun kami tidak tahu sama ada permohonannya itu sudah berjaya atau tidak,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Mazlan, 25, adalah antara enam anggota bomba yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja hilang di sebuah bekas lombong di Puchong, Selangor, Rabu lalu.

Zuriyah berkata, arwah adiknya juga banyak membantu keluarga termasuk bertanggungjawab menyiapkan rumah peninggalan arwah ayah mereka di kampung halaman di Semporna.

Katanya, rumah berkenaan yang dijadikan tempat berkumpul keluarga ketika cuti perayaan banyak meninggalkan kenangan kepada mereka adik-beradik.

“Rumah itu banyak menyimpan memori dan kenangan kami adik-beradik bersama arwah bapa dan arwah adik (Mazlan) yang bertanggungjawab membantu menyiapkan pembinaannya.

“Atas sebab itu, kami membuat keputusan pulang ke Semporna semalam bagi mengadakan kenduri tahlil untuk arwah Mazlan di rumah berkenaan.

“Alhamdulillah, majlis tahlil berjalan dengan lancar dan kami bersyukur selain berterima kasih kepada semua ahli keluarga, sanak saudara dan pihak lain yang banyak membantu serta menyampaikan sumbangan,” katanya.

Allahyarham yang bertugas sebagai anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di JBPM Selangor berpangkalan di Klang, selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Kampung Batu Payung, di sini, kira-kira jam 6.40 petang pada Khamis lalu.

Dalam kejadian pada jam 9.15 malam Rabu lalu, Mazlan bersama lima rakan setugasnya lemas akibat terbelit tali ketika berada dalam air selepas dilanda arus deras ketika melaksanakan operasi SAR seorang remaja hilang di lombong berkenaan.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *