40 gajah masuk ladang, seekor cedera dikesan terkena jerat

KIRA-KIRA 40 ekor gajah dilaporkan berada si sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Segama, Lahad Datu, semalam. – Foto Jabatan Hidupan Liar

LAHAD DATU: Kira-kira 40 gajah dilaporkan memasuki kawasan ladang kelapa sawit, di Ulu Segama, di sini, sejak Isnin lalu dengan seekor daripadanya dikesan mengalami kecederaan di kaki, dipercayai terkena jerat.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Augustine Tuuga, berkata ia berdasarkan sisa tali jerat yang dilihat masih membelit kaki hadapan sebelah kiri haiwan liar itu, ketika anggota JHLS menjalankan pemantauan dengan kerjasama pekerja ladang, hari ini.

“Maklumat yang kami terima, seekor gajah terkena jerat di kaki depan sebelah kiri. Susulan itu, sepasukan pegawai veterinar sudah dihantar ke lokasi untuk menangkap dan menjalankan rawatan.

“Namun demikian, belum dapat dipastikan lokasi sebenar gajah berkenaan terkena jerat terbabit. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya masih melaksanakan kawalan di ladang kelapa sawit terbabit bagi memantau pergerakan kira-kira 40 gajah yang memasuki kawasan berkenaan.

Katanya, gajah terbabit masuk ke kawasan ladang pada waktu siang tetapi keluar ke hutan simpan Mesuli yang terletak bersebelahan pada waktu malam.

“Setakat ini, ada kerosakan kepada tanaman lama dan baru tetapi nilai kerosakan belum dikira anggarannya oleh pihak ladang. Oleh itu, pengawalan terus dijalankan untuk mengelak kerosakan yang lebih banyak,” katanya.

Augustine berkata, gajah terbabit perlu menyeberangi Sungai Segama untuk kembali ke hutan Simpan Ulu Segama bagi menyelesaikan isu pencerobohan haiwan liar itu di ladang berkenaan.

Sumber : Berita Harian

SEEKOR gajah cedera dengan jerat masih mencengkam kaki kiri haiwan berkenaan ketika ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Segama Lahad Datu. – Foto Jabatan Hidupan Liar
KIRA-KIRA 40 ekor gajah dilaporkan berada si sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Segama, Lahad Datu, semalam. – Foto Jabatan Hidupan Liar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *