Sabah rekodkan 18 tangkapan kes bot tunda langgar syarat lesen

SEKADAR GAMBAR HIASAN

KOTA KINABALU, 4 Okt  – Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (APMM) merekodkan 18 tangkapan kes bot nelayan pukat tunda yang melanggar syarat lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan kurang tiga batu nautika dari pantai dari Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Labuan, Laksamana Muda (M) Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata 10 tangkapan dilakukan di Zon Maritim Kota Kinabalu manakala selebihnya lapan kes di Zon Maritim Kudat hasil daripada operasi khas agensi itu.

“Operasi Khas bagi menangani isu-isu pelanggaran undang-undang di perairan Sabah dan Labuan akan terus dilaksanakan dari masa ke semasa. APMM berharap semua yang terlibat dapat memberi kerjasama dengan mematuhi syarat-syarat lesen menangkap ikan seperti yang diluluskan dalam syarat lesen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Zubil juga berkata setakat bulan ini, pihaknya merekodkan 13 kes tangkapan kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan di seluruh perairan Sabah dan Labuan.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, tujuh kes direkodkan di Zon Maritim Kota Kinabalu, tiga kes di Zon Maritim Semporna dan masing-masing satu kes di Zon Maritim Labuan, Zon Maritim Kudat dan Zon Maritim Tawau.

“Aktiviti bom ikan ini turut memusnahkan habitat batu karang dan kehidupan laut yang lain. Jika pengeboman ikan dilakukan semasa adanya aktiviti menyelam, ini boleh mendatangkan bahaya dan kecederaan kepada penyelam,” katanya.

Selain itu kata Mohd Zubil, APMM juga akan terus melaksanakan rondaan bagi menentukan kesejahteraan komuniti maritim khususnya keselamatan terhadap bot-bot nelayan dan bot-bot pelancong agar mereka sentiasa mematuhi undang-undang dan memberi penekanan terhadap aspek-aspek keselamatan di laut.

Justeru, beliau memohon kerjasama daripada komuniti maritim dan orang awam untuk terus menyalurkan sebarang maklumat berhubung kejadian dan aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di 088-270165.

Sumber – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *