Latihan kemalangan pesawat berskala penuh untuk uji AEP di KKIA

KOTA KINABALU, 4 Okt – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengadakan latihan kemalangan pesawat berskala penuh untuk menguji keberkesanan Prosedur Kecemasan Lapangan Terbang (AEP) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Lumpur (KKIA), di sini hari ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata latihan itu juga bagi mematuhi keperluan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) supaya semua lapangan terbang antarabangsa mengadakan latihan berskala penuh setiap dua tahun.

“Ia juga sebahagian daripada inisiatif berjadual yang diadakan untuk memastikan kesiap siagaan rangkaian lapangan terbang sekiranya berlaku bencana udara dan meningkatkan komunikasi antara semua agensi yang terlibat,” kataya dalam satu kenyataan media yang diedarkan semasa latihan itu di sini hari ini.

AEP merangkumi pelan kontigensi untuk memenuhi tindakan penyelarasan yang diambil oleh semua agensi terlibat dalam respons kepada kecemasan di lapangan terbang.

Latihan, yang bermula pukul 11.30 pagi, itu disertai kira-kira 800 anggota dari 15 agensi berkaitan seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Sementara itu, Pengurus Kanan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) KKIA, Sunif Naiman berkata perjalanan pelaksanaan latihan itu berjalan lancar mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP)  yang ditetapkan.

“Kita sedia maklum bahawa kita tidak boleh buat 100 peratus terbaik, namun kita akan cuba memperbaiki apa sahaja kelamahan yang kita lihat dalam latihan hari ini.

“Senario yang berlaku dalam latihan ini melibatkan sebuah pesawat yang dinamakan sebagai Romeo Airlines, yang “terhempas” semasa berlepas dari KKIA ke Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata dalam simulasi itu semua agensi yang terlibat telah menggerakkan operasi mengikut SOP yang ditetapkan dan kita berharap latihan ini akan mempertingkatkan lagi tahap kesiap siagaan kita untuk menghadapi kemalangan yang sebenar.

Sumber – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *