UMS komited sokong pembangunan penyelidikan dan inovasi dalam kalangan belia

KOTA KINABALU, 2 Okt – Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited dalam menyokong  pembangunan penyelidikan dan inovasi, terutama bila ia melibatkan kalangan belia di Malaysia.

Naib Canselor UMS, Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata komitmen dan sokongan itu sejajar dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam membentuk generasi muda agar berminat serta mempunyai kesedaran terhadap sains, teknologi dan inovasi.

“UMS akan meneruskan usaha itu dan sangat optimis serta berharap agar inovasi dan budaya  penyelidikan ini berkembang maju ke hadapan dalam membantu menangani isu-isu sosial, ekonomi dan persekitaran,” katanya pada majlis makan malam sempena Seminar Sains dan Teknologi Ke-12 anjuran UMS di sini malam ini.???Teks ucapannya  disampaikan oleh Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS Prof Dr Baba Musta.

Pada majlis itu turut diadakan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara UMS dan Jabatan Meteorologi Malaysia bertujuan untuk mengembangkan bidang penyelidikan antara UMS dan jabatan berkenaan selaras dengan usaha membudayakan penyelidikan dan inovasi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sebanyak 103 kertas kerja dibentangkan pada seminar dua hari itu yang bermula hari ini.

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *