Sabah singkir Kelantan

KOTA KINABALU: Sabah layak ke separuh akhir Piala Malaysia buat kali pertama selepas 11 tahun apabila menewaskan Kelantan 1-0 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah layak menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan walaupun kedudukan agregat terikat 2-2.

Pada perlawanan berkenaan, Kelantan terlebih dulu mencemaskan pintu gol Sabah menerusi cubaan Mohd Khairul Rizam Che Soh seawal minit ke-3, namun rembatannya berjaya diselamatkan penjaga gol, Rozaimie Rohim dalam keadaan satu lawan satu.

Beraksi di hadapan lebih 20,000 penyokong, Sabah memperoleh gol pertama menerusi sepakan penalti penyerang import, Rodoljub Paunnovic pada minit ke-30.

Pengadil, Fitri Maskon, memberikan sepakan penalti selepas bola terkena tangan salah seorang pertahanan Kelantan dan ia disempurnakan dengan baik oleh Paunovic bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Selepas jaringan itu, Kelantan cuba mencari gol penyamaan namun setiap serangan mereka berjaya dipatahkan pertahanan Sabah yang dikemudi ketua pasukan, Rawilson Batuil dan kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Perlawanan tampak seimbang di awal permainan namun Sabah memiliki peluang baik pada minit ke-62 menerusi cubaan Mohd Azzizan Nordin, bagaimanapun, sepakannya itu berjaya ditepis keluar penjaga gol Kelantan, Mohd Faridzuean Kamaruddin.

Pasukan tuan rumah kemudian terus garang memburu jaringan dan hampir memperoleh gol kedua menerusi rembatan kencang Alto Linus dari luar kotak penalti, namun ia berjaya dibaca Faridzuean.

Seminit kemudian, Paunovic pula memiliki peluang baik, bagaimanapun, cubaannya hasil hantaran cantik Maxsius Musa sedikit tersasar di sebelah kanan tiang gol lawan.

Di masa kecederaan permainan, perlawanan semakin ‘panas’ apabila penyerang import Kelantan, Cristiano Marcolino Santos dilayangkan kad merah.

Kedudukan 1-0 kemudian kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus melayakkan Sabah ke peringkat empat terbaik selepas kali terakhir melakukannya pada 2007.

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *