Lebih 2,000 ahli UMNO 31 cawangan di Tawau keluar parti

MOHD Azis pada Majlis Perasmian Cawangan-Cawangan penaja Parti Warisan Bahagian P.190 Tawau. – NSTP/Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mengalu-alukan kemasukan bekas ahli-ahli UMNO yang bertindak keluar parti dan menyertai parti itu (Warisan) tetapi bersyarat.

Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, kemasukan beramai-ramai bekas ahli UMNO itu ke dalam Warisan adalah petanda positif selain menunjukkan penerimaan rakyat terhadap parti itu semakin mendapat sambutan.

Dalam satu majlis di sini, beliau menerima borang keahlian dari lebih 2,000 ahli UMNO daripada 31 cawangan di kawasan Parlimen Tawau, yang bertindak keluar parti dan menyertai Warisan.

“Kita menerima bekas ahli UMNO yang keluar parti dan menyertai Warisan tetapi dengan syarat mereka perlu meninggalkan budaya-budaya UMNO yang dulunya diamalkan sebelum ini.

“Kalau dulunya di dalam UMNO budaya yang terlalu mengejar kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat perlu ditinggalkan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Cawangan-cawangan penaja Parti Warisan Bahagian P.190 Tawau, di sini hari ini.

MOHD Azis menerima borang keahlian dari lebih 2,000 ahli UMNO daripada 31 cawangan di kawasan Parlimen Tawau. – NSTP/Abdul Rahemang Taiming

Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, kemasukan beramai-ramai bekas ahli UMNO itu merupakan titik permulaan yang baik dan yakin lebih ramai lagi ahli UMNO khususnya yang membabitkan ahli jawatan kuasa dan cawangan, akan keluar parti untuk menyertai Warisan dalam tempoh terdekat ini.

Sementara itu, mantan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tawau, Arifin Kassim berkata, tindakan keluar parti dalam kalangan ahli UMNO itu memperlihatkan mereka inginkan perubahan kepimpinan selain menyatakan sokongan terhadap Parti Warisan yang membentuk kerajaan negeri hari ini.

“Selain tidak yakin terhadap halatuju UMNO, tindakan bekas ahli UMNO yang menyertai Warisan adalah kerana inginkan perubahan bukan sahaja dari segi kepimpinan malah pembangunan yang bakal dirancang dan dilaksanakan demi untuk kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *