Kritik pimpinan parti ibarat Si Tanggang moden

AHLI Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika mencadangkan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. – Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyelar bekas pemimpin kanan parti itu yang secara terang memperlekehkan pemimpin sendiri di media sosial.

Wakil UMNO Sabah itu berkata pemimpin berkenaan yang kini memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), secara terang melanggar nilai pertama dalam moto UMNO, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

Pandikar Amin yang hadir memakai dastar etnik Iranun, berkata pemimpin terbabit menggunakan alasan demokrasi dan meraikan perbezaan pendapat untuk mengaibkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, walhal ia jelas bertentangan disiplin parti.

“Pada masa ini, kononnya atas sebab demokrasi dan tuntutan meraikan perbezaan pendapat, ada bekas pemimpin kanan UMNO yang kini sebagai Yang Berhormat dari UMNO, hampir setiap hari membuat kenyataan di media sosial.

“Kenyataan ini bukan saja menunjukkan dia tidak bersatu pendapat dan pendirian dengan majoriti pemimpin parti, tapi dia juga sengaja mengaibkan kewibawaan Presiden UMNO.

“Sikap pemimpin berkenaan secara terang melanggar moto parti yang pertama apabila memilih untuk tidak bersatu,” katanya ketika mencadangkan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018, di sini hari ini.

Beliau mengingatkan pimpinan parti untuk tidak berkompromi dan tunduk dengan alasan tuntutan merai perbezaan pendapat kerana parti yang tidak mengamalkan disiplin akan menemui kehancuran.

Pimpinan UMNO, katanya, perlu berpegang pada falsafah ‘sebatang lidi boleh dipatah dengan senang, namun lidi yang diikat dengan erat tidak mungkin boleh dipatahkan dengan mudah oleh mana-mana pihak’.

“Pimpinan UMNO perlu buat sesuatu supaya jangan ada sebatang lidi UMNO yang bersikap seperti kayu balak sepemeluk besarnya, dapat mempengaruhi lidi UMNO lain untuk terlepas daripada ikatan batang lidi yang sebesar lengan.

“Parti UMNO yang bersaiz lidi akan senang dipatahkan pihak yang membenci UMNO, termasuk oleh orang tua,” katanya.

Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu turut membidas bekas pemimpin UMNO yang kini menjarakkan diri daripada parti selepas bertukar menjadi pembangkang.

Menyifatkan mereka sebagai ‘Si Tanggang’ moden, beliau berkata, pemimpin berkenaan bukan saja tidak bertanding dalam pemilihan parti baru-baru ini serta tidak mahu terbabit dalam usaha menyuburkan kembali UMNO, malah tergamak memperlekeh kewibawaan pimpinan parti.

“Dulu Si Tanggang menjadi batu kerana derhaka kepada ibunya, tetapi Si Tanggang moden ini amat bernasib baik kerana walau disumpah, dicemuh, sindir sinis pun tidak menjadikan mereka batu kerana mereka punyai ilmu pendinding yang luar biasa.

“Ilmu kilas sumpah ini amat mudah dipelajari. Mantera atau jampi hanya satu perkataan sahaja, iaitu ‘demokrasi’ dan dibaca tujuh kali,” katanya sinis.

Pandikar Amin berkata, walaupun menyedari jalan bertentangan dengan Si Tanggang moden itu lebih berliku dan banyak rintangan, UMNO Sabah tetap memilih jalan seiring dengan pemimpin sedia ada.

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *