BAFM akan tingkatkan pengeluaran makanan ternakan ruminan

GAMBAR BERNAMA

TAWAU –  Balung Animal Feed Mild (BAFM) kini dalam proses meningkatkan kecekapan kilang dan pengeluaran makanan ternakan ruminan bagi memenuhi permintaan industri ternakan di negeri ini, kata Pengurus Besarnya, Mohd Azid Kabul

Katanya, kilang yang dilancarkan pada tahun 2016 itu mengeluarkan makanan ternakan ruminan yang lengkap untuk kegunaan ternakan seperti lembu, kambing dan kerbau.

“Kita telah melakukan kajian dan berjaya mengeluarkan palet makanan berasaskan pelepah kelapa sawit untuk ternakan,” katanya ketika memberi taklimat kepada  Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Dr Daud Yusof yang melawat ladang ternakan lembu miliknya di kawasan Ladang  Sawit Sungai Kawah dan Kilang Makanan Ternakan Balung  hari ini.

Katanya, dengan adanya kilang memproses makanan ternakan ruminan berkenaan, kambing dan lembu kini boleh diternak walaupun tanpa rumput.

“Di sini kita berjaya menternak lebih 13,000 ekor lembu yang memakan palet dan ternakan ini tidak menghadapi masalah penghadaman malah memudahkan usaha penternakan dan menaikan berat badan ternakan,” katanya.

Sementara itu, Dr Daud mahu usaha BAFM dicontohi syarikat lain ke arah meningkatkan hasil ternakan di negeri ini.

Sumber – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *