Tragedi gempa bumi Ranau diangkat ke layar perak

KOTA KINABALU – Tragedi gempa bumi di Ranau pada 5 Jun  2015, kira-kira  tiga tahun lepas telah memberi ilham kepada Pengarah Filem Datuk Jurey Latiff Rosli untuk mengadaptasi  peristiwa sedih itu ke layar perak.

Berkongsi pengalaman menghasilkan filem “Tangisan Akinabalu” itu, Jurey Latiff berkata ia bukan mudah kerana pelakon yang terlibat tidak mempunyai pengalaman berlakon dalam filem mahupun televisyen.

Namun berkat komitmen dan kerjasama daripada semua barisan pelakon menghadiri kelas yang diadakan  berjaya membuktikan anak Sabah mempunyai bakat yang tersendiri.

“Saya ambil (pelakon), latih mereka dengan membuat kelas lakonan, teknikal sehingga berjaya membuktikan dan mempamerkan bakat dalam filem yang kita lihat pada malam ini,” katanya kepada pemberita selepas tayangan perdana dan majlis pelancaran filem itu, semalam.

Filem Tangisan Akinabalu yang ditayangkan serentak di 32 pawagam di seluruh negara dilancarkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi.

Jurey Latiff berkata skrip untuk filem yang bernilai RM2.2 juta itu mula dihasilkan selepas kejadian gempa bumi itu sebelum memulakan penggembaraan pada Sept 2016.

Katanya filem Tangisan Akinabalu adalah yang pertama dihasilkan di Sabah dan yang ketiga di bawah arahannya menggunakan dialek tempatan Sabah selain Bahasa Mandarin, Inggeris dan Jepun.

Pelakon yang terlibat termasuk Yuri Mejal, Phanthegerow Estrop, Saiful Zero, Yus Waisar dan ramai lagi. Filem yang berdurasi satu jam 30 minit terbitan New Line Film Sdn Bhd itu berdasarkan kisah benar insiden gempa bumi di Ranau yang berlaku pada jam 7.15 pagi berukuran 5.9 pada skala Richter meragut 18 nyawa termasuk pendaki dan malim gunung, Gunung Kinabalu.

Sementara itu, Mohamaddin mahu filem berkenaan dapat dipromosikan ke peringkat antarabangsa melalui kementeriannya.

Beliau berkata filem merupakan antara medium yang sangat sesuai sebagai saluran yang mempamerkan lokasi yang menarik, adat dan budaya unik masyarakat Malaysia khususnya di Sabah.

“Kementerian  amat mengalu-alukan sebarang cadangan untuk mempromosikan adat budaya Sabah sama ada dalam bentuk penerbitan filem, drama, teater, nyanyian dan kesenian bagi menyemarakkan industri seni tanah air kita,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *